Oleh:
Syaikh Muhammad al-Shalih al-‘Utsaimin
Istihadah (الاستحاضة)
ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa
terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.
Dalil
bagi kes pertama, yakni darah keluar tanpa terputus-putus ialah sebagaimana
aduan Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu 'anha kepada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana di dalam Shahih al-Bukhari:
“Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak suci” manakala dalam
satu riwayat yang lain: “Aku didatangi istihadah maka aku tidak suci.”
Dalil
bagi kes kedua, yakni darah keluar dengan terputus sekejap ialah kisah Himnah
binti Jahsy radhiallahu 'anha yang datang menemui Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: “Ya Rasulullah,
sesungguhnya aku didatangi darah istihadah yang banyak.” [Musnad
Ahmad, Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi dan beliau (al-Tirmizi)
mensahihkannya.]
Terdapat tiga cara bagi membezakan antara darah haid dan istihadah:
Pertama:
Wanita
yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya). Maka baginya
hukum haid dalam masa yang tetap tersebut dan hukum istihadah bagi waktu
selainnya.
Contohnya ialah seorang wanita yang lazimnya didatangi haid selama enam hari
bermula awal setiap bulan. Kemudian (pada satu bulan) dia mengalami pendarahan
yang berterusan. Maka pendarahan enam hari yang pertama bermula dari awal bulan
dikira sebagai haid manakala hari-hari selebihnya dikira sebagai istihadah.
‘A’isyah radhiallahu ‘anha menerangkan bahawa Fathimah binti Abi Hubaisy
radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam:
“Sesungguhnya aku didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu
meninggalkan solat?”. Rasulullah menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq
(penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian
hendaklah kamu mandi dan dirikan solat.”
[Shahih
al-Bukhari – no: 325 (Kitab al-Haid)]
Hal
yang sama pernah berlaku kepada Umm Habibah binti Jahsy radhiallahu ‘anha
dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada beliau:
“Duduklah (dalam keadaan haid) sekadar mana yang pernah kamu alami dari
hari-hari haid kamu (yang biasa), kemudian hendaklah kamu mandi dan solat”.
[Shahih
Muslim – no: 334 (Kitab al-Haid)]
Kesimpulannya, bagi wanita yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan
putarannya), hendaklah dia mengira masa haidnya mengikut kebiasaan. Jika ada
pendarahan pada hari-hari seterusnya, hendaklah dia mandi dan solat mengikut
ukuran masa haidnya yang biasa. Tidak perlu diberi perhatian kepada pendarahan
pada hari-hari seterusnya kerana itu adalah istihadah.
Kedua:
Wanita
yang tidak memiliki masa haid yang tetap atau diketahui (tempoh dan
putarannya). Contohnnya darah yang keluar secara berterusan sejak awal. Maka
baginya dibezakan antara darah haid dan darah istihadah dengan memerhatikan
sifat-sifat darah tersebut. Darah yang berwarna hitam (merah kehitaman) dan/atau
pekat dan/atau berbau, ia adalah darah haid. Selainnya adalah darah istihadah.
Sebagai
contoh, seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan. Akan tetapi
pada hari kesepuluh kelihatan perbezaan sifat darah:
q
Sehingga hari kesepuluh darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas
itu ia berwarna merah. Maka darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang
berwarna merah adalah istihadah.
q
Sehingga hari kesepuluh darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair.
Maka darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.
q
Sehingga hari kesepuluh darah memiliki bau manakala selepas itu tiada lagi bau.
Maka darah yang berbau adalah haid, darah yang tidak berbau adalah istihadah.
Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha:
“Apabila darah itu adalah haid maka sesungguhnya ia hitam (lagi) dikenali,
justeru hendaklah kamu menahan dari melakukan solat. Jika ia adalah (darah)
selain itu maka hendaklah kamu berwudhu’ dan mendirikan solat kerana
sesungguhnya ia adalah (darah) penyakit.”
[Sunan
Abu Daud – no: 247 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Nasa’i
dengan disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim]
Hadis
di atas memiliki perbincangan dari sudut sanad dan matannya, akan tetapi para
ilmuan rahimahumullah telah beramal dengannya. Bahkan ia adalah lebih
utama daripada membiarkan persoalan ini kepada adat kebiasaan wanita.
Ketiga:
Wanita
yang tidak memiliki masa (tempoh dan putaran) haid yang tetap dan
tidak juga memiliki sifat-sifat darah yang dapat dibezakan antara haid dan
istihadah. Maka baginya masa haid diukur berdasarkan kebiasaan wanita, waktu
selebihnya dikira sebagai istihadah.
Sebagai
contoh, wanita yang menghadapi kes ketiga ini melihat darah keluar secara
berterusan bermula pada hari Khamis yang pertama dalam bulan tersebut. Maka
hendaklah dia melihat kebiasaan para wanita lain yang menghampirinya dan
menjadikan tempoh haid mereka sebagai ukuran ke atas dirinya. Jika pada
kebiasaannya mereka didatangi haid selama enam atau tujuh hari, maka demikianlah
juga ukuran ke atas dirinya. Oleh itu enam atau tujuh hari yang pertama
pendarahan, bermula daripada hari Khamis, dianggap sebagai haid. Hari-hari
seterusnya dianggap sebagai istihadah.
Hadis
berikut menjadi rujukan dalam kes ketiga ini. Himnah binti Jahsy radhiallahu
‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya seorang wanita yang didatangi istihadah yang
amat banyak, apakah pandangan engkau berkenaannya? Sesungguhnya ia menegah aku
daripada mendirikan solat dan puasa.”
Rasulullah menjawab: “Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf
(kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”
Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ia (pendarahan kamu) adalah hentakan dari
hentakan-hentakan syaitan, maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau
tujuh hari pada ilmu Allah Ta’ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat
bahawa kamu telah suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada pada
dua puluh tiga malam atau dua puluh empat malam dan siangnya dan hendaklah kamu
berpuasa.”
[Sunan
Abu Daud – no: 248 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Tirmizi –
no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan berkata al-Tirmizi, hadis ini hasan
sahih]
Sabda
Rasulullah: “Enam atau tujuh hari” bukanlah penetapan tetapi ijtihad.
Oleh itu hendaklah setiap wanita yang menghadapi kes ketiga ini berijtihad akan
satu tempoh haid yang sesuai baginya. Ijtihad dibuat dengan merujuk kepada
tempoh haid yang lazim dihadapi oleh para wanita lain yang menghampiri dirinya,
seperti daripada keluarga atau adik beradik yang sama, rakan-rakan yang sebaya
umurnya dan lain-lain lagi.
Demikian tiga cara yang paling lazim bagi membezakan antara darah haid dan
istihadah. Sebagai penjelasan tambahan, kadang-kala berlaku pendarahan yang
disalah anggap sebagai istihadah. Kesalahan ini boleh berlaku dalam dua kes:
Pertama:
Wanita
yang mengetahui dengan jelas bahawa dia tidak akan didatangi haid lagi, seperti
setelah melakukan pembedahan yang melibatkan pemotongan atau ikatan rahim. Maka
baginya, yang mengalir keluar bukanlah istihadah tetapi al-Sufrah (cecair
kekuningan) dan al-Kudrah (cecair kekeruhan antara kuning dan hitam) atau
basahan. Maka hendaklah dia mendirikan solat dan puasa, serta boleh bersetubuh
dengan suaminya. Dia tidak diwajibkan mandi (mandi wajib) kerana darah yang
keluar tersebut.
Akan
tetapi hendaklah dia membasuh faraj serta mengikatnya dengan kain
supaya dapat mencegah darah daripada mengalir keluar. Bagi setiap solat
fardhu, hendaklah dia berwudhu’ sesudah masuk waktu kemudian terus bersolat.
Bagi setiap solat sunat, hendaklah dia berwudhu’ apabila sahaja hendak
mendirikannya.
Kedua:
Wanita
yang tidak tahu secara jelas sama ada dia akan didatangi haid atau tidak. Maka
baginya, pendarahan yang berlaku dianggap sebagai haid dan istihadah, dibezakan
dengan tiga cara yang telah disebut di atas.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada Fathimah
binti Abi Hubaisy:
“Sesungguhnya yang demikian itu ialah ‘irq (penyakit) bukanlah darah haid maka
apabila datang haid maka hendaklah kamu meninggalkan solat.”
[Shahih
al-Bukhari – no: 306 (Kitab al-Haid)]
Sabda
Rasulullah: “…Maka apabila datang haid…” menjadi petunjuk yang membezakan
antara haid dan istihadah. Maka bagi seorang wanita yang mungkin baginya untuk
datang haid, maka hendaklah dia membezakan antara haid dan istihadah sepertimana
tiga cara yang disebut di atas. Bagi wanita yang tidak mungkin didatangi haid
maka yang wujud hanyalah ‘Irq (penyakit) dalam apa jua keadaan sekalipun.
Hukum-Hukum Istihadah.
Sebelum
ini dalam Bab 4 kita telah bahas hukum-hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang
sedang haid. Kini kita akan bahas pula hukum-hukum yang diwajibkan ke atas
wanita yang beristihadah. Apabila seorang wanita telah memastikan bahawa dia
sedang mengalami pendarahan istihadah dan bukan haid, maka hukum-hukum yang
diwajibkan ke atasnya adalah sama sepertimana wanita yang suci kecuali
dalam tiga perkara berikut:
Pertama:
Wanita
yang beristihadah wajib berwudhu’ setiap kali hendak solat. Ini berdasarkan
sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Fathimah binti Abi
Hubaisy radhiallahu 'anha di dalam Shahih al-Bukhari – no: 228:
“Kemudian hendaklah kamu berwudhu’ pada setiap solat.” Hadis ini
memberi makna bahawa dia tidak berwudhu’ untuk solat yang berwaktu kecuali
selepas masuk waktunya. Adapun bagi solat yang tidak berwaktu (solat sunat) maka
dia berwudhu’ ketika hendak melaksanakannya.
Kedua:
Apabila
wanita yang beristihadah hendak berwudhu’, hendaklah dia membasuh kesan darah
dan mengikat farajnya dengan cebisan kain yang dilapik dengan kapas supaya dapat
menahan darah.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada
Himnah radhiallahu 'anha:
“Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang
diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”
Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.
Rasulullah bersabda: “Maka hendaklah kamu mengekangnya (mengikatnya)….”
[Sunan
al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan beliau berkata: Hadis
ini hasan sahih]
Apa
yang keluar (apa-apa pendarahan) selepas itu tidaklah memudaratkan (tidak
membatalkan wudhu’) berdasarkan hadis berikut riwayat Ahmad dan Ibn Majah:
“Wahai Rasulullah, Sesungguhnya aku seorang wanita yang mengalami istihadah
sehingga aku tidak suci, apakah aku patut meninggalkan solat? Tidak, hendaklah
kamu jauhi solat pada hari-hari haidmu (sahaja) kemudian hendaklah kamu mandi
dan berwudhu’ untuk setiap solat kemudian dirikanlah solat walaupun darah
menitis jatuh ke atas tikar.”
[Musnad
Ahmad – no: 25681 dan disahihkan oleh Syu‘aib al-Arnauth]
Ketiga:
Bersetubuh, maka para ilmuan berselisih pendapat mengenai kebolehannya. Pendapat
yang sahih adalah ianya harus (dibolehkan) tanpa sekatan berdasarkan sebab-sebab
berikut:
-
Merupakan satu kelaziman bagi para wanita pada zaman Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam mengalami istihadah. Akan tetapi Allah dan Rasul-Nya
tidak pernah menegah para suami daripada menyetubuhi isteri mereka.
-
Allah
Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh
dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu.
[al-Baqarah 2:222] Ayat ini menjadi dalil bahawa larangan bersetubuh hanyalah ke
atas isteri yang sedang haid, tidak selain itu.
-
Jika
diharuskan solat bagi wanita yang beristihadah, maka sudah tentu diharuskan
juga bersetubuh kerana bersetubuh adalah sesuatu yang lebih kecil berbanding
solat.
Pendapat yang melarang bersetubuh mengqiyaskan wanita yang beristiadhah dengan
wanita yang haid. Ini adalah qiyas yang tidak benar kerana wanita istihadah dan
wanita haid adalah dua kes yang saling berlainan.